Tuesday, 15 January 2013

Menerima Ikhtilaf Dalam Kehidupan

Menerima Ikhtilaf Dalam Kehidupan

Orang Islam perlu menerima ikhtilaf sebagai satu perkara dharuri dan penting, bahkan merupakan realiti yang tidak dapat dielakkan. Janganlah cuba menghapuskan ikhtilaf atau menyempitkan ruang lingkupnya. Orang Islam juga perlu menerima ikhtilaf di dalam perkara cabang, sebagai satu rahmat dan keluasan untuk umat Islam, supaya umat Islam boleh memilih pendapat yang dilihatnya paling kuat.

     Alhamdulillah, semalam (Selasa) bersamaan 15 Januari 2013 telah selesai menjawab soalan peperiksaan akhir bagi subjek Adab Al-Ikhtilaf. Subjek ini diajar oleh Ustaz Mohamad Zulkifli Abdul Ghani. Subjek ini merupakan subjek kedua yang memerlukan aku menadah kitab Arab di UKM ini selepas subjek Jihad menurut Al-Quran dan As-Sunnah pada tahun pertama semester pertama dahulu.Kitab yang digunakan ialah “al-Sahwah al-Islamiayyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum” tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Sebenarnya menadah kitab seperti ini menjadi kelaziman semasa pengajian di peringkat Diploma dahulu. Namun, di UKM ini ia agak jarang berlaku. Al-maklumlah Universiti KEBANGSAAN Malaysia.

Sekitar lensa program iftar jamaie, solat hajat & motivasi peperiksaan
       
       Apabila kita mengerti prioriti bermakna kita memahami kehendak semasa yang dituntut oleh umat Islam. Dengan berpaksikan pertimbangan ini, kita tidak akan tersasar jauh dari keperluan semasa yang menyebabkan umat Islam kian alpa. Atas pendirian tersebut, antara kewajipan pendakwah dan pemikir Islam adalah menyibukkan masyarakat Islam dengan permasalahan-permasalahan yang besar. Pembangunan minda dan ilmu umat Islam hanya boleh ditingkatkan dengan menumpukan segala perhatian terhadap isu-isu yang besar yang menimpa mereka.


       Masyarakat Islam kini banyak keciciran perkara-perkara prinsip Islam. Selaku orang yang diamanahkan ilmu, setiap pendakwah perlu bijak memilih serta menghidangkan kepada mereka penerangan jalan penyelesaian perkara prinsip. Hal ini demi memastikan masalah mereka terhadap agama dapat diatasi. Amat tidak bijak bagi mereka yang mendahulukan perkara cabang sebagai topik utama yang akan menyebabkan masyarakat awam ‘sakit perut’ berupa perpecahan serta salah faham terhadap prinsip Islam.

       Justeru, carilah titik persamaan sesama kita dan elakkan dari mencetuskan perkara-perkara yang boleh menimbulkan perbalahan. Asalkan tidak mencabar perkara prinsip, maka bersatulah atas nama aqidah Islamiyyah. Mujaddid Islam terkemuka, Imam Hassan Al-Banna apabila berhadapan dengan dua kelompok yang sedang percanggahan pendapat antara mereka tentang rakaat solat tarawikh adalah perkara yang sunat, manakala kesatuan dan perpaduan adalah satu kewajipan. Justeru janganlah kerana perkara yang sunat, kita korbankan perkara yang wajib. Ini adalah satu contoh kefahaman prioriti semasa yang telah dipraktikkan oleh seorang tokoh yang dianggap figura di dalam gerakan Islam. Memandu umat Islam supaya cerdik berfikir dan berusaha mengukuhkan kesatuan demi berhadapan dengan musuh yang dipandang sebagai prioriti yang utama. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Ali-Imran 3: 103)
 

Kebersamaan dalam Islam
       Memang tidak dinafikan, imam-imam yang berselisih pendapat di antara satu sama lain, tidak pernah berselisih pendapat di antara satu sama lain, tidak pernah berselisih pendapat di dalam semua masalah, bahkan apa yang berlaku ialah mereka hanya berselisih pendapat di dalam beberapa isu tertentu, tetapi bersepakat di dalam isu lain dan ini sudah menjadi satu sunnah Allah ke atas para makhlukNya. Jika kita lihat kepada perselisihan yang berlaku di kalangan imam-imam mazhab empat, kita dapati mereka berselisih di dalam beberapa isu dan bersepakat di dalam beberapa isu yang lain.


Walaupun masing-masing berbeza pandangan, sepatutnya kita berusaha menyatukan hati-hati umat Islam agar membawa pembawaan dan agenda meninggikan kehendak sang Pencipta. Mengembalikan suasana  ketika zaman sahabat serta ulama silam walaupun berselisish pandangan, hati mereka tetap bersatu bersama menelusuri kehendak Islam. Kemunculan mazhab Hanafi, mazhab Syafi'i, mazhab Maliki dan mazhab Hanbali yang saling berbeza tidak boleh dijadikan sebab untuk umat Islam berpecah. Begitu juga perbezaan pandangan antara mazhab aqidah Al-Asya'irah, Al-Maturidiyyah dan Al-Salafiyyah tidak sepatutnya menjadi faktor perpecahan umat. Perlu disedari, perbezaan-perbezaan itu semua hanyalah berada di ruang lingkup perkara-perkara cabang aqidah sahaja. Tidak boleh dijadikan alasan untuk saling mengabaikan kesatuan umat Islam.


Sesungguhnya kesatuan Islam adalah satu keperluan untuk mengembalikan kegemilangan Ummah dan merealisasikan peranannya dalam memimpin manusia untuk merealisasikan kebahagiaan dunia dan akhirat. Kesatuan juga merupakan satu keperluan untuk menghadapi bahaya-bahaya dahsyat yang disasarkan kepada umat Islam oleh musuh-musuhnya yang ramai dan bersekutu. Kesatuan Islam sepatutnya dibina di atas asas-asas agama dengan cara memahami realiti dunia masa kini, mengenali tabiat serangan padanya, menentukan faktor-faktor yang membawa kepada kesatuan ini dan menentukan halangan-halangan yang menghalang perealisasiannya.
 

"Kesalahan dikenali untuk diperbaiki dan bukan untuk diperlekeh. Kesalahan juga dikenali untuk dibimbing dan diberi peringatan dan bukannya untuk mengaib dan memburukkan." Kata-kata di atas menutup perkongsian saya pada kali ini sebagai renungan kita bersama. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat sekalian, perkongsian ini dipetik daripada kertas kerja saya yang bertajuk "Kesatuan menurut Al-Quran dan As-Sunnah." Saya juga ingin memaklumkan yang saya masih belum sempat untuk berkongsi berkenaan "Usrah Itu Indah" seperti yang disebut-sebut dalam post sebelum ini. Banyak lagi benda yang nak dikongsikan sebenarnya, namun memerlukan masa, mood & idea.

Gambar Kenangan (Sahabat2 Zaman Menadah Kitab)

 

 

No comments:

Post a Comment