TEAM CONSULTANT


1) AHMAD ZULFADZLI BIN DIN 



Tanggal 25 November 1988 lahirnya anak jati Perak ini di Hospital Besar Taiping. Beliau adalah anak bongsu daripada empat orang adik-beradik bagi pasangan Din Bin Itam Manas dan Norizan Binti Ismail. Beliau dibesarkan dalam suasana keluarga yang sederhana di mana ayah beliau merupakan seorang pesara tentera dan ibu beliau merupakan seorang guru.

SK Sultan Idris 2, Kuala Kangsar menjadi sekolah pertama anak muda ini mendapat pendidikan di peringkat awal. Kemudian beliau berpindah ke SK Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi, Lubuk Merbau kerana mengikut keluarga berpindah. Menamatkan sekolah rendah dengan 4A1B dalam peperiksaan UPSR, beliau menyambung pengajian di SMKA Kerian, Perak. Menjadi pelajar di sekolah ini bermula tahun 2001 sehingga 2005 dengan keputusan PMR 8A1B dan SPM 4A. Pernah menjalani latihan Khidmat Negara di Kem Jiwa Murni, Gunung Semanggol selama tiga bulan sementara menunggu keputusan SPM. 

Kemudian beliau menyambung pengajian di peringkat Diploma di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. dalam bidang Syariah dan Perundangan Islam dari tahun 2006 hinggalah 2009. Sekarang, beliau merupakan pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Islam (Pengajian Dakwah dab Kepimpinan). Pernah menjadi pelajar praktikal di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Di UKM beliau belajar sesuatu yang baru, hidup yang baru dan juga menerima sahabat-sahabat yang baru. Bermula dari sini beliau terus mendapat pengalaman menjadi fasilitator walaupun sudah terlibat secara tidak langsung dengan fasilitator program motivasi sejak dari sekolah menengah lagi. Sering mengikuti dan menguruskan program-program yang dijalankan di UKM terutamanya program-program yang dianjurkan oleh Kolej Dato’ Onn (KDO) dan Kelab Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (JAKMA). Merupakan AJK Rakan Surau, Kelab Kesenian Islam KDO dan Exco Alumni dan Hubungan Luar JAKMA pada tahun kedua. Kini, beliau menjawat jawatan sebagai YDP JAKMA. 

Dalam JAKMA, banyak belajar mengenai Fasilitator dan Motivator yang berperanan penting dalam merancang dan melaksanakan program-program pembangunan modal insan seperti program motivasi, kaunseling, pemantapan personaliti, team building, bengkel pengurusan strategik dan kursus-kursus kemahiran yang lain. Bergiat aktif dalam mengendalikan program semenjak tahun 2010 dan mengendalikan pelbagai aspek latihan dan motivasi yang melibatkan pelbagai institusi seperti masjid, sekolah, jabatan kerajaan, syarikat korporat serta berbagai agensi yang lain. Memiliki karakter yang bersahaja dan menghiburkan ketika mengendalikan program bertujuan untuk memastikan mesej yang diberi sampai kepada setiap peserta.


2) MOHD FIRDAUS BIN AYUB



Mohd Firdaus Bin Ayub merupakan seorang anak muda berumur 22 tahun sedang menuntut dalam pengajian ijazah sarjana muda Pengajian Dakwah dan Kepimpinan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tanggal 10 Mei 1990 lahirnya anak jati Selangor ini di Taman Desa Minang, Gombak. Beliau adalah anak kelima daripada enam orang adik-beradik bagi pasangan Ayub Bin Mamat dan Rogayah Binti Abu Bakar. Beliau dibesarkan dalam suasana keluarga yang sederhana di mana ayah beliau merupakan seorang peniaga ikan di pasar malam. Beliau cukup terdidik dengan suasana perniagaan kerana sering membantu ayahnya berniaga. 

SK (1) Taman Selayang menjadi sekolah pertama anak muda ini mendapat pendidikan di peringkat awal. Semasa di peringkat menengah beliau telah berhijrah ke negeri Kelantan Darul Naim di atas hasrat ayahnya yang mahukan beliau mengambil pengajian pondok dan tahfiz al-Quran di Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat, Repek, Pasir Mas. Kemudian beliau telah mengambil SPM dan STAM di dua buah sekolah yang berbeza iaitu di Maahad Darul Anuar dan Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu. Alhamdulillah berbekalkan keputusan yang sedikit memberangsangkan maka dapat lah beliau meneruskan pengajian di UKM sekarang. 

Sejak daripada bangku sekolah lagi beliau sangat aktif dengan melibatkan diri dengan aktiviti sosial dan kepimpinan. Perwatakan beliau yang ceria dan peramah sangat menyenangkan setiap insan yang mengenalinya. Beliau amat meminati seni suara nasyid dan sejak di bangku sekolah telah bergiat aktif menyertai pertandingan nasyid dan telah menubuhkan kumpulan nasyid sendiri yang diberi nama ELHAM. Hasil daripada hobi menjadi tanggungjawab dalam menyebarkan dakwah melalui hiburan Islam apabila berjaya menerbitkan sebuah album kompilasi “SATU DESTINASI” hasil gabungan 4 kumpulan nasyid negeri Kelantan. 

Beliau mempunyai pengalaman dalam mengendalikan program-program motivasi kerana sering menjadi fasilitator. Berbekalkan ilmu mengenai Kaunseling Islam yang sedang di dipelajari beliau sekarang, ia dapat memudahkan beliau untuk mendalami serta membantu dalam menyampaikan motivasi kepada para peserta program. Pengalaman-pengalaman yang di timba digunakan sebaik mungkin agar dapat disumbangkan kepada masyarakat umum.


3) ANAS ZULHIFZI BIN BUANG



Dilahirkan pada tanggal 8 September 1990 di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor Darul Ehsan. Merupakan anak ketiga dari 4 adik beradik. Di besarkan dirumah kuarters guru di SAMT Tengku Ampuan Rahimah Kuala Langat sehingga berumur 9 tahun seterusnya berpindah ke Kampung Jenjarom sehinggalah sekarang Mendapat pendidikan awal di Tadika ABIM di Kuala Langat, Sekolah Kebangsaan Jenjarom dan juga Sekolah Rendah Agama Jenjarom.

Meneruskan pendidikan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis, Kuala Langat Selangor Darul Ehsan. Kembali semula ke sekolah ini sebagai seorang pelajar yang mana pada usia kecil di sini menjadi tempat bermain bersama rakan-rakan. Pada dahulunya semua guru-guru di sini merupakan rakan sejawat dan juga anak murid bapa beliau dan sekarang mengajar beliau. Menjadi pelajar di sekolah ini bermula tahun 2003 sehingga 2009. Bukan seorang pelajar yang cemerlang kerana dari awal tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5 kerana sentiasa menduduki kelas yang terakhir. Satu puncanya ialah sifat pemalas yang ada dalam diri. Oleh kerana keputusan SPM yang tidak memuaskan dan cukup-cukup makan, beliau mengambil keputusan di atas nasihat ibu bapa untuk mengambil STPM di sekolah yang sama. 

Pada awalnya diri beliau sangatlah tidak yakin kerana mendengar khabar angin bahawa STPM sangat susah tetapi tetap diteruskan juga. Akhirnya selepas tersedar dari sikap yg lama, usaha yang gigih, kesungguhan guru-guru, doa ibu bapa dan orang lain diri ini mendapat keputusan 5 Prinsipal dan juga naik ke pentas buat pertama kalinya sebagai salah seorang pelajar STPM yang cemerlang. Selepas itu, beliau telah membuat permohonan untuk masuk ke Universiti dengan kos pengajian yang diminati seperti di UPSI,UM,USIM dan UKM. Setelah menanti selama sebulan, beliau telah menerima berita yang sangat baik iaitu diterima masuk ke Universti Kebangsaan Malaysia dan ditawarkan kos Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan sarjana muda.

Di UKM beliau belajar sesuatu yang baru, hidup yang baru dan juga menerima sahabat-sahabat yang baru. Bermula dari situ beliau terus mendapat pengalaman menjadi fasilitator walaupun sudah terlibat dengan fasilitator program motivasi sejak dari tingkatan 6 lagi. Pada tahun pertama beliau terlibat program motivasi di bawah anjuran satu pihak konsultan. Hujung minggu dihabiskan sebagai fasilitator. Pada tahun kedua pengajian,beliau telah dilantik menjadi sebagai exco di kolej dan juga di kelab jabatan. Pengalaman ditambah dengan adanya Minggu Mesra Pelajar sebagai Timbalan Pengarah Exco sepanjang minggu itu. Selain itu juga beliau pernah menjadi ketua fasilitator di dalam sebuah kem motivasi yang dianjurkan oleh IKRAB UKM. Pelajar yang terlibat di dalam kem tersebut ialah pelajar daripada Felda Jelai Negeri Sembilan. Pada tahun ketiga pengajian pula beliau masih terlibat dalam program motivasi dan menjadi fasilitator contohnya program di rumah perlindungan remaja wanita di Sabak Bernam. Yang terakhir ialah beliau pernah menjadi ketua pengarah bagi satu program dakwah di Gua Musang di bawah subjek jabatan iaitu Latihan Amali Dakwah Kepada Muslim. Mungkin dengan pengalaman-pengalaman ini beliau dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat kini.


4) AMRUDDIN BIN MOHD 



Beliau yang diberi nama Amruddin Bin Mohd berasal dari negeri yang terkenal dengan makanan keropok lekor iaitu Terengganu Darul Iman. Di zaman persekolahan beliau dikenali dengan gelaran ‘muf’ dikalangan rakan-rakannya serta lebih mesra dengan panggilan ‘amru’ dalam kalangan pelajar lain. Saban tahun beliau aktif dalam berpersatuan dan kini beliau di pilih sebagai Naib Yang Dipertua I Persatuan Mahasiswa Terengganu Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga turut aktif dalam memberi komitmen dalam sebarang aktiviti di kampus serta sering terlibat dalam aktiviti motivasi kepada pelajar sekolah di sekitar negeri Selangor. Ikuti coretan ringkas kisah hidup beliau. 

17 Oktober 1990 saya dilahirkan oleh seorang ibu di Hospital Besar Kuala Terengganu atau kini lebih dikenali sebagai Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Tepat jam 7.32 malam, saya dilahirkan dalam keadaan sempurna dan disambut oleh jururawat. Sebagaimana yang diceritakan oleh ibu, saya berbeza dengan adik-beradik yang lain ketika masih bayi. Ini kerana dalam tempoh masa yang singkat saya sudah mampu berdiri dan berjalan ketika berusia 2 tahun. Semasa kecil juga saya tidak gemar orang lain mendukung saya kerana rimas dan lebih suka berjalan sendiri dengan bebas. 

Di zaman sekolah rendah, saya bukanlah seorang pelajar yang cerdik di SK Tok Jiring Kuala Terengganu. Cuma seingat saya, hanya sekali sahaja saya menerima anugerah pelajar cemerlang semasa saya berada di tahun 5. Saat istimewa itu merupakan bukti kepada ibu bapa saya bahawa saya mampu untuk berjaya. Saat di atas pentas itu, saya melihat wajah ibu yang tenang seakan ingin menyatakan sesuatu kepada semua yang berada di dalam dewan tersebut. Ayah pula bermandi peluh mengerah keringat mencari rezeki untuk membesarkan saya dalam keluarga yang sederhana. Ketika itu juga saya aktif dalam bersukan dan pernah mewakili sekolah dalam kejohanan di peringkat daerah dan negeri. 

Naik ke tingkatan 1, saya dihantar oleh ayah saya ke Ma’ahad Tahfiz di Kuala Terengganu. Dalam tempoh 5 tahun saya berada di situ, saya aktif dalam memegang beberapa jawatan dalam asrama dan juga persatuan. Selain itu, saya juga terlibat dalam beberapa pertandingan hafazan Al-Quran di peringkat sekolah dan pernah mendapat tempat ketiga dalam hafazan al-Quran bagi juzu’ 1 hingga 5. Selepas keputusan SPM dikeluarkan, saya memilih untuk menyambung pelajaran di peringkat STPM dan saya ditawarkan sama ada ingin menyambung di SMK Agama Durian Guling atau SMK Agama Sheikh Abdul Malek. Saya lebih berminat untuk menyambung di SHAMS disebabkan oleh jaraknya yang lebih dekat dengan rumah. 

Kini, saya merupakan seorang mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia, ijazah dalam bidang dakwah dan kepimpinan. Di universiti saya dilantik sebagai Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Mahasiswa Terengganu dan pernah memegang beberapa jawatan dalam kolej kediaman saya. Selain itu, saya bergiat aktif dalam aktiviti penganjuran program-program motivasi khususnya kepada pelajar sekolah yang bakal menduduki peperikasaan di Malaysia. 

Dengan tertubuhnya syarikat kami ini, saya yakin dan percaya segala ilmu dan pengalaman yang dipinjamkan kepada saya mampu untuk dikongsi dan dapat memberi manfaat kepada semua. Semoga kita dapat berkongsi ilmu dan pengalaman bersama-sama dalam menggapai keredhaan Allah S.W.T. 



5) MOHD SUHAIMI BIN SAUTAR



Nama diberi Mohd Suhaimi Bin Sautar, dilahirkan sehari sebelum Malaysia menyambut hari kemerdekaan iaitu pada tanggal 30 ogos tahun 1989. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana, yang mana ayah bekerja sebagai seorang peneroka felda manakala ibu adalah suri rumah sepenuh masa. Sejak kecil, panas terik mentari yang membahang seakan sinonim dengan kehidupan saya. Masih ingat lagi, seawal jam 7.30 pagi turun dari rumah menuju ke ladang yang menjadi rutin harian ayah untuk menyara saya sekeluarga.

Menolong dan membantu meringankan beban ayah bukan menjadi ala an untuk tidak bersekolah. Saya di sekolah merupakan seorang pelajar yang degil dan sukar untuk menurut kata guru, kelas tambahan Fardhu ain, banyak ponteng dan sekolah harian biasa juga pernah juga ponteng. Mungkin kesedaran diri tiada pada waktu itu. Saya banyak terpengaruh dengan kawan-kawan, berkawan dengan mat-mat rempit semasa di sekolah menengah dan pernah juga menjadi mekanik motosikal bagi mereka. Mungkin kerana minat yang mendalam terhadap mekanikal dan jika diikutkan hati, saya akan meneruskan sesi sekolah menengah di sekolah vokasional.

Tetapi syukur pada Allah dan berterima kasih kepada ibu yang berkeras untuk menghantar saya belajar di sekolah aliran agama. Jika sebelum ini banyak perangai-perangai buruk yang ditunjukkan kepada ibubapa, namun di sekolah menengah, syukur kepada Allah, boleh menggembirakan hati ibubapa kerana menjadi seorang pelajar cemerlang di sekolah dan di tingkatan 6 diberi kepercayaan untuk menjadi presiden tingkatan 6 dan menjadi pelajar cemerlang stpm. Alhamdulillah, gabungan minat dalam bidang teknikal dan aliran sekolah yang berunsurkan agama menjadi kekuatan untuk terus bangun dan menolong mereka-mereka yang memerlukan dalam kedua-dua bidang.

Kini saya merupakan mahasiswa di sebuah universiti, selain menjadi pemimpin pelajar, saya bergiat aktif dalam penganjuran program-program motivasi, khususnya pada mereka yang berada di pedalam seperti gua musang contohnya dalam membentuk keyakinan dan motivasi diri untuk berubah demi masa depan yang cemerlang sebagaimana yang dilakukan oleh saya sendiri. 

No comments:

Post a Comment